Saturday, November 21, 2009
Berbuat baik kepada ibu bapa amalan dituntut
sumber Berita Harian
Seseorang anak mesti taat segala kemahuan orang tua selagi tidak langgar syarak
BERIMAN dan mentauhidkan Allah adalah syarat yang perlu dipatuhi agar segala ibadat yang dilakukan seseorang tidak menjadi sia-sia. Seterusnya, Allah memerintahkan supaya manusia melakukan kebaikan (ihsan) kepada kedua ibu bapa. Ihsan kepada ibu bapa dengan mentaati segala kemahuan mereka selagi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Begitu juga, apabila bercakap dengan ibu bapa, si anak diharamkan meninggikan suara, mengherdik, mencaci dan berkata dengan perkataan yang tidak baik. Malah, mereka juga tidak boleh menunjukkan 'bahasa badan' yang boleh mengguris perasaan kedua-duanya.
Ia menggambarkan ibu bapa mempunyai kedudukan yang amat istimewa menurut perspektif agama sebagaimana firman Allah SWT, bermaksud: "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua di dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan `Uhh`, dan janganlah engkau menengking dan menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang ketika memelihara dan mendidikku semasa kecil. " (Al-Isra' : 23 � 24)
Ulama mempunyai pendapat tersendiri mengenai persoalan berbuat baik kepada ibu bapa. Imam Malik berpendapat kedudukan ibu dan bapa adalah sama dari sudut hak untuk mendapatkan ihsan daripada anak. Al-Layth bin Sa'd menyatakan berbuat baik kepada ibu adalah tiga kali ganda lebih utama jika dibandingkan dengan berbuat baik kepada bapa.
Pendapat al-Layth dikuatkan dengan pandangan al-Imam al-Qurtubi yang membawa satu hadis mengenai seorang sahabat yang bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai siapakah yang paling utama untuk berbuat baik kepadanya. Di dalam hadis berkenaan, jawapan yang diberikan Rasulullah SAW adalah ibu dan Baginda mengulangi jawapannya sebanyak tiga kali apabila ditanya lagi oleh sahabat berkenaan.
Selanjutnya, beliau berhujah bahawa si ibu adalah lebih utama untuk dicurahkan kebaikan kepadanya kerana kesusahan ketika mengandung, penderitaan ketika melahirkan dan pengorbanan yang dilakukan ketika membesarkan dan mendidik si anak. Justeru, ketaatan kepada ibu adalah lebih utama jika dibandingkan dengan bapa. Sementara bagi perkara haram, seseorang mesti meninggalkannya walaupun disuruh ibu bapa.
Melakukan ketaatan kepada ibu bapa meliputi pelbagai aspek yang boleh dilaksanakan, iaitu:
Tegasnya, setiap insan perlu melakukan segala kebaikan kepada ibu bapa mereka. Ini kerana, dengan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, mereka akan dimurahkan rezeki dan mendapat kasih sayang dan ihsan daripada isteri dan anak-anak. Ini bertepatan dengan satu hadis daripada Ibn Umar , Rasulullah bersabda, "Berbuat baiklah kepada ibu bapamu, nescaya anakmu akan berbuat baik kepadamu. Dan bersikap jujurlah kepada ibu bapamu, nescaya isteri kamu akan bersikap jujur kepada kamu." (Hadis al-Tabarani)
Penulis ialah Pensyarah Jabatan Usuluddin, Universiti Darul Iman Malaysia, Terengganu.
No Response to "Berbuat baik kepada ibu bapa amalan dituntut"
Leave A Reply