Saturday, November 21, 2009
TV Alhijrah mula operasi tahun depan
Sumber: Berita harian
PUTRAJAYA: Stesen televisyen Islam pertama negara, TV Alhijrah yang dijangka memulakan operasi penyiaran pada pertengahan tahun depan, mampu menjadi saluran alternatif kepada masyarakat majmuk di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, berkata ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan saluran yang sesuai ditonton seisi keluarga tanpa mengira kaum dan latar belakang masyarakat.
"Hasrat mewujudkan saluran televisyen alternatif ini timbul kerana kerajaan ingin melihat televisyen sebagai sumber maklumat dan hiburan sesuai dengan konsep masyarakat majmuk.
"Malah, rancangan yang bakal disiarkan juga lebih berbentuk kekeluargaan yang sesuai ditonton seisi keluarga.
"Namun, maklumat lanjut mengenai konsep rancangan yang bakal disiarkan akan diumumkan kemudian," katanya kepada media selepas menyaksikan penyampaian cek bernilai RM500,000 sumbangan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) di sini, semalam.
Sumbangan disampaikan Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Daud Tahir kepada Pengerusi Alhijrah Media Corporation (Alhijrah), Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Beliau berkata, kerajaan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membiayai kos pentadbiran dan pengurusan Televisyen Alhijrah yang diterajui syarikat Alhijrah.
Beliau mengalu-alukan sumbangan daripada Bank Rakyat itu bagi mengisi dana Alhijrah bagi membiayai operasi televisyen Islam itu.
"Kita (TV Alhijrah) memang memerlukan bantuan dana kerana ia bukan stesen televisyen berbayar kerana jika berbayar kelompok penontonnya adalah terhad.
"Jadi, sumbangan daripada Bank Rakyat ini amat bermakna malah ia adalah syarikat pertama yang menyumbang kepada TV Alhijrah," katanya.
Sementara itu, langkah mewujudkan saluran televisyen Islam milik kerajaan diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mahu ia dijadikan wadah bagi menjelaskan perkara berkaitan agama di negara ini dengan lebih berkesan.
Pengumuman penubuhan saluran televisyen baru itu diumumkan sendiri Jamil Khir pada 11 Jun lalu, selaku penung Alhijrah Media Corporation.
No Response to "TV Alhijrah mula operasi tahun depan"
Leave A Reply