Saturday, November 21, 2009

Henry setuju ulang perlawanan

Posted on 10:52 PM by [XY]

sumber Berita Harian


LONDON: Thierry Henry menafikan bahawa dia seorang penipu tetapi berkata ‘penyelesaian paling adil’ ialah diadakan semula perlawanan playoff Piala Dunia di antara Perancis dan Republik Ireland yang ditentukan hasil tindakannya memegang bola.

Henry menciptakan gol penentu buat William Gallas apabila mengawal bola dengan tangan ketika seri 1-1 di Stade de France. Gol pada masa tambahan itu memberikan Perancis tempat di pusingan akhir Piala Dunia tahun depan, hasil kelebihan agregat 2-1 mengatasi Ireland.

“Sudah tentu penyelesaian paling adil ialah mengadakan semula perlawanan itu, tetapi ia bukan dalam kawalan saya,” kata Henry dalam satu kenyataan, semalam.


Pagi semalam, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) sudahpun menolak permintaan Persatuan Bola Sepak Ireland supaya perlawanan itu diadakan semula.

Henry mengakui dia memegang bola dan berkata dia rasa malu dengan cara Perancis layak ke Piala Dunia dan menyisihkan Ireland.

“Saya sudah katakan ketika itu dan saya katakan sekali lagi, ya, saya memegang bola. Saya bukan penipu dan tidak pernah sebelum ini. Ia adalah tindak balas kepada bola yang datang terlalu pantas dalam kawasan penalti yang sesak.

“Saya tidak pernah nafikan yang bola dikawal dengan tangan saya. Saya beritahu pemain Ireland, pengadil dan media perkara ini selepas perlawanan.”

Penyerang Barcelona itu melahirkan simpati kepada pasukan lawannya.

“Memang saya rasa malu dengan cara kami menang dan rasa amat-amat simpati dengan Ireland yang juga berhak ke Afrika Selatan. Tiada apa lagi dapat saya lakukan kecuali mengaku bola terkena tangan saya sebelum jaringan penyamaan dan saya meminta maaf kepada pasukan Ireland,” katanya. - Agensi


Blogged with the Flock Browser

No Response to "Henry setuju ulang perlawanan"

Leave A Reply